Dia.
Yang seringkali terdengar bisik-bisik manusia tentang betapa perlunya untuk menjadi diri sendiri.
Jadi diri sendiri--
Bermakna Dia perlu untuk menjadi Dia.
Dia mahu jadi Dia, yang diterima orang sekeliling.
Tapi Dia lupa--
Lupa yang orang sekeliling tak akan faham dan bertahan dengan Dia yang sudahpun menjadi dirinya sendiri.
Dia lupa--
Lupa bahawa orang sekeliling tak akan pernah berhenti membanding-banding kekurangan Dia dengan kelebihan orang lain.
Kekurangan, lawannya kelebihan.
Sekarang bisik pada Dia, siapa yang bakal dimenangkan?
Ya, sudah tentulah kelebihan akan dimenangkan.
Jadi, untuk apa jadi diri sendiri kalau cuma untuk dibanding-banding?
Dia mahu jadi Dia, yang jadi penyebab orang sekeliling tersenyum senang.
Tapi Dia lupa--
Lupa yang Dia sendiri gagal untuk buat dirinya tersenyum.
Lalu bagaimana Dia mahu kongsi rasa sama orang sekeliling?
Dia lupa--
Lupa bahawa orang sekeliling lebih suka sama orang yang kelakar, dirinya cuma penyebab orang sekeliling merasa jelak.
Yang kelakar, lawannya jelak.
Sekarang bisik pada Dia, siapa yang bakal dimenangkan?
Ya, sudah tentulah yang kelakar akan dimenangkan.
Jadi, untuk apa jadi diri sendiri kalau cuma untuk dibanding-banding?
Dia mahu jadi dia, yang petah berbicara dan tak membosankan.
Tapi Dia lupa--
Lupa yang Dia punya bicara biasanya menyinggung hati dan perasaan.
Lalu bagaimana Dia mahu terus berbicara tanpa menyinggung hati dan perasaan orang sekeliling, sekaligus membuat bicaranya itu tidak membosankan?
Dia lupa--
Lupa bahawa orang sekeliling lebih suka sama yang petah berbicara.
Dia terlalu pasif dan tidak sesuai untuk diajak berbicara tentang hal apa pun.
Kerana pada akhirnya nanti, hal seremeh apa pun tetap bertukar menjadi serius.
Serius yang membawa kepada perbalahan.
Petah berbicara, lawannya pasif.
Sekarang bisik pada Dia, siapa yang bakal dimenangkan?
Ya, sudah tentulah yang petah berbicara akan dimenangkan.
Jadi, untuk apa jadi diri sendiri kalau cuma untuk dibanding-banding?
Dia mahu jadi Dia, yang punya tahap keyakinan paling tinggi untuk hidup dengan gembira tanpa memikirkan masalah seremeh apa pun.
Dia mahu jadi Dia.
Tapi Dia lupa--
Lupa bahawa Dia adalah musuh kepada Dia.